
MUAR – Dalam usaha mempromosikan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar kepada orang ramai, Majlis Belia Daerah Muar (MBDM) telah menganjurkan aktiviti riadah secara santai dengan berjalan kaki mengelilingi pusat berkenaan.
Yang Dipertua MBDM, Mohammad Hafiz Tumin berkata, perjalanan sejauh kira-kira tiga kilometer itu telah disertai seramai 150 penduduk bagi melihat secara dekat kemudahan yang ada di sekitar TMIYC Muar.
Menurut Mohammad Hafiz, pihaknya terpanggil untuk mempromosikan lokasi berkenaan berikutan ia salah satu tarikan terbaharu dibuka di Muar dengan dilengkapi pelbagai kemudahan riadah.
“Di TMIYC ini, selain kewujudan gerai-gerai jualan, ramai yang masih tak tahu fasiliti sukan juga dibuka kepada orang ramai. Pengunjung yang berminat untuk menyewa gelanggang di sini boleh berbuat demikian kerana kemudahan ini juga dibuka untuk semua golongan.
“Justeru, program Geng Youth Development Plan (YDP) Fun Walk TMIYC Muar ini dianggap platform tepat untuk kami selaku pengurus lokasi menyebarluaskan peranan fasiliti ini,” katanya kepada TMP.
Menurut beliau, selain memperkenalkan lokasi berkenaan, program terbabit sekaligus menggalakkan orang ramai menjalani hidup sihat sihat melalui aktiviti berjalan kaki.
TMIYC berkeluasan 11 hektar itu telah dirasmikan sejak Oktober lalu dan mampu menampung lebih 300,000 pengunjung bagi sesebuah acara keramaian.
Dilengkapi dengan 15 fasiliti, TIMYC Muar direka khusus untuk memenuhi keperluan dan minat belia seperti gelanggang futsal, sepak takraw, tenis, padang bola sintetik, gimnasium, ‘skatepark’, asrama belia, gelanggang serbaguna, kafeteria, surau dan taman permainan.







