MIRI – Ekspo Pemerkasaan Belia MADANI 2025 yang berlangsung di Stadium Bandaraya Miri menerima sambutan hangat daripada golongan belia khususnya dalam kalangan komuniti peribumi dan luar bandar.
Menteri Kerja Raya merangkap Pengerusi Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) Malaysia, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menegaskan pengiktirafan terhadap cabaran besar yang dihadapi oleh belia luar bandar merupakan langkah awal ke arah memperkasa golongan tersebut.
“Pemerkasaan belia harus bersifat menyeluruh dan inklusif. Kita perlu memastikan setiap belia, tanpa mengira latar belakang, mendapat akses kepada peluang sebenar untuk memperbaiki masa depan mereka,” katanya.
Ekspo tersebut dianjurkan dengan kerjasama antara Perantis, AFPPD dan agensi tempatan, menampilkan pelbagai platform pendedahan kerjaya seperti bengkel amali, kaunseling kerjaya, pertandingan pelaburan, e-sukan serta program literasi kewangan.
Menurut Alexander, inisiatif itu sejajar dengan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan belia peribumi melalui keusahawanan, latihan vokasional, celik kewangan dan bimbingan kerjaya yang relevan.
“AFPPD memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara dasar dan pelaksanaan di lapangan, sekali gus memastikan suara belia dari komuniti terpencil terus diberi perhatian serta disokong secara aktif,” ujarnya lagi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Miri merangkap Ketua Kluster Belia AFPPD, Chiew Choon Man; Ahli Parlimen Kapar merangkap Ketua Kluster Wanita AFPPD, Dr Halimah Ali; Residen Miri, Galong Luang; Presiden Perantis, Spancer Biondy Raymond Ramba; serta Pengerusi Ekspo, Dr Alpha Ngadan.
Ekspo ini dilihat sebagai platform penting dalam melahirkan barisan pelapis pemimpin negara yang berdaya saing, berilmu dan bersedia menyahut cabaran masa hadapan.








