BELANJAWAN bayangan Perikatan Nasional (PN) disifatkan umpama satu ceritera politik biasa dengan menjual harapan besar tapi lemah pada asasnya.
Penganalisis politik, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, pembangkang tampil dengan belanjawan bayangan yang sarat dengan janji manis dengan pelbagai ‘gula-gula’ untuk rakyat namun seperti biasa ia tiada perincian sumber dana, tiada pelan pelaksanaan dan tiada penjelasan fiskanl yang munasabah.
“Retorik tinggi, tapi asas ekonomi longgar. Realitinya, mereka masih gagal memahami cabaran sebenar mengurus negara. Tanpa penyatuan dalaman, tanpa pakar dasar, dan tanpa keikhlasan untuk menawarkan alternatif sebenar, bajet bayangan ini hanya menyerlahkan satu perkara iaitu mereka memang belum bersedia memerintah. Dan paling layak kekal sebagai pembangkang.
“Bantuan tunai RM6,000, subsidi percuma, dan pelbagai itu hanya ‘gula-gula’ rakyat. Mereka bermimpi menjadi kerajaan, janji kosong dan saya yakin rakyat tidak mudah hadam kerana sudah celik maklumat,” katanya ketika dihubungi.

Isnin lalu, ketika membahas Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberi bayangan pembangkang akan menawarkan pendidikan percuma di peringkat prasiswazah serta menambah peruntukan kesihatan di samping memberi Bantuan Prihatin Negara (BPN) sebanyak RM6,000 atau RM500 sebulan kepada isi rumah jika mentadbir negara selepas PRU16 nanti.
Mengulas lanjut, Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, belanjawan bayangan pembangkang itu penuh dengan angka menarik demi mengejar populis.
“Pemberian tunai, subsidi, pendidikan percuma, namun sedarkah mereka bahawa setiap angka harus menyelaras dengan sumber penerimaan negara, defisit fiskal dan risiko hutang? Cadangan-cadangan ini sering dipersembahkan dengan megah tanpa penjelasan bagaimana ia akan dibiayai tanpa membebankan kerajaan yang ada.
“Contohnya, PN pernah mengumumkan cadangan bantuan tunai tertentu dalam belanjawan bayangan mereka sebagai balasan kepada inisiatif kerajaan semasa. Tetapi ketika diteliti, aspek pelaksanaan, kaedah pungutan dana baru dan implikasi inflasi jarang disentuh. Ia suatu petanda bahawa cadangan itu bersifat populis, bukan kebijaksanaan ekonomi,” katanya.
Dalam sejarah politik Malaysia, Azhar menegaskan, belum ada lagi belanjawan bayangan pembangkang yang benar-benar menggugat belanjawan kerajaan dari aspek kredibiliti.
“Sebaliknya, setiap kali dibentang, ia menjadi sasaran kritikan, dikupas kelemahannya, dan akhirnya dianggap sekadar ‘angkat suara’, bukan wujud dasar alternatif sebenar.
“Apabila kerajaan membentang belanjawan sebenar dengan data Kementerian Kewangan, jabatan-jabatan, statistik ekonomi dan unjuran pendapatan, bajet bayangan pembangkang mudah terserlah kekurangannya kerana kurang data serupa. Akibatnya, pembangkang masih sukar memposisikan diri sebagai calon kerajaan ‘siap pakai’,” katanya.







