
KOTA KINABALU – Belanjawan 2026 memperlihatkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkasa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi dengan peruntukan berjumlah RM1.015 bilion di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
Menurut Menterinya, Datuk Ewon Benedick, KUSKOP diperuntukkan sebanyak RM1.015 bilion, melibatkan pertambahan sebanyak RM200.3 juta berbanding tahun sebelumnya.
“Peruntukan ini belum termasuk pelbagai inisiatif lain dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Dalam Belanjawan Rakyat ini, sebanyak RM50 bilion diperuntukkan bagi kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan kepada PMKS, termasuk RM10 bilion yang dikhususkan untuk jaminan pinjaman kepada usahawan Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.
Katanya, antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan melalui KUSKOP dan agensi-agensinya termasuklah peruntukan RM20 juta bagi Projek Tamu Desa di Sabah dan Sarawak, bagi menambah tapak serta ruang niaga yang dilengkapi kemudahan asas.
“Pembangunan tanah wakaf turut dipacu melalui UDA Holdings Berhad dengan nilai pelaburan hampir RM250 juta di Pulau Pinang dan Kedah, manakala RM100 juta disediakan sebagai dana pembiayaan khusus untuk PMKS halal melalui SME Bank.
“Sebanyak RM2.5 bilion pinjaman disediakan kepada usahawan mikro melalui TEKUN Nasional dan BSN, RM50 juta dana pembiayaan perusahaan koperasi melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), serta RM200 juta pinjaman di bawah Program Jaguh Serantau SME Bank bagi membantu PKS Bumiputera menembusi pasaran eksport.
“RM230 juta diperuntukkan sebagai tambahan dana kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) untuk menyokong usahawan mikro wanita, menjadikan jumlah keseluruhan dana AIM kini mencecah RM2.9 bilion.
“Bagi pembiayaan khusus kepada usahawan wanita, sebanyak RM270 juta disediakan melalui Bank Rakyat, SME Bank, BSN dan MARA, di samping RM12 juta untuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) oleh SME Corp dan RM9 juta bagi pembangunan industri francais melalui PERNAS,” jelasnya.
Dalam pada itu, kerajaan turut memperuntukkan RM220 juta bagi pelaksanaan pelbagai program sosioekonomi masyarakat India melalui MITRA, TEKUN dan AIM.
Tambahnya lagi, KUSKOP akan memastikan pelaksanaan Belanjawan Rakyat 2026 berpaksikan iltizam ‘we facilitate, not frustrate’, serta pendekatan ‘whole of government’ bagi memastikan setiap inisiatif sampai kepada rakyat yang memerlukan.
“Belanjawan ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, tetapi juga memperkukuh keupayaan PMKS dan koperasi untuk terus menjadi peneraju ekonomi serantau,” ujarnya.







