
KUCHING – Belanjawan 2026 disifatkan sebagai bukti jelas komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi berteknologi tinggi negara.
Sementara itu, wartawan The Malaysia Press (TMP) mendapatkan pandangan Pengurus GiatMARA Saratok, Abadi Hussien berkata, fokus kerajaan terhadap bidang TVET, khususnya dalam sektor berasaskan kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor amat tepat pada masanya bagi memenuhi permintaan industri masa depan.
“Langkah ini menunjukkan kesungguhan kerajaan melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan industri berasaskan teknologi baharu,” katanya.

Menurutnya, peruntukan tersebut memberi peluang untuk memperkukuh kemudahan latihan, meningkatkan kompetensi tenaga pengajar dan menyemak semula kurikulum agar sejajar dengan teknologi semasa.
“Tumpuan juga perlu diberikan kepada kerjasama erat dengan industri supaya latihan yang dijalankan benar-benar relevan dan meningkatkan kebolehpasaran pelatih,” ujarnya.
Sementara itu, Alisca Sangau, 30, pengajar TVET berkata, Belanjawan 2026 membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan TVET sebagai platform strategik dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi dan relevan dengan kehendak industri moden.

Menurutnya, peruntukan yang diumumkan membolehkan institusi TVET beralih daripada pendekatan tradisional kepada latihan berasaskan industri masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan semikonduktor.
“Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing, malah menyokong pertumbuhan pelaburan dalam sektor teknologi,” katanya.
Beliau menegaskan, kejayaan pelaksanaan inisiatif itu bergantung kepada sejauh mana TVET diberi akses kepada fasiliti moden, penglibatan tenaga pengajar pakar serta pelaksanaan latihan praktikal yang berasaskan kerjasama industri.
“Dengan pendekatan menyeluruh ini, TVET mampu menjadi hab latihan utama bagi tenaga kerja tempatan sekali gus meletakkan Malaysia sebagai peneraju teknologi serantau,” ujarnya.







