
KANGAR – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyifatkan pengumuman peruntukan RM16 juta dalam Belanjawan 2026 sebagai pemangkin besar kepada pembangunan teknologi aeronautik negara.
Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, sebahagian daripada dana itu diperuntukkan untuk membangunkan projek Air Space Sandbox, fasiliti ujian penerbangan altitud rendah pertama di Malaysia yang akan dibina di Sungai Batu Pahat, Perlis.
Menurut beliau, fasiliti berimpak tinggi itu akan menjadi platform utama dalam menguji dan membangunkan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) serta kapal terbang autonomi di bawah persekitaran terkawal dan selamat.
“Pembangunan Air Space Sandbox ini akan membuka ruang penyelidikan dan inovasi dalam bidang seperti logistik, pertanian pintar, keselamatan serta pemetaan udara. Ia juga melibatkan kolaborasi strategik bersama rakan industri aeronautik utama,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir atas kepercayaan serta sokongan berterusan terhadap usaha UniMAP.
Kata Zaliman, projek berkenaan bukan sekadar kemudahan ujian, tetapi sebahagian daripada strategi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai hab serantau teknologi penerbangan dan dron.
“UniMAP komited untuk terus menerajui penyelidikan berimpak tinggi melalui pendekatan kolaboratif antara akademia, industri dan kerajaan,” katanya lagi.
Tambahnya, inisiatif itu akan memperkukuh ekosistem pembangunan bakat berkemahiran tinggi dalam bidang aeronautik dan teknologi tanpa pemandu.
Beliau menegaskan, kepercayaan yang diberikan kepada UniMAP menjadi tanggungjawab besar untuk membina masa depan sektor aeronautik negara yang lebih mampan dan berdaya saing.
Dengan projek Air Space Sandbox ini, Perlis bakal muncul sebagai pusat tumpuan baharu penyelidikan dan inovasi penerbangan altitud rendah di rantau ini.


