TAWAU – Belanjawan 2025: Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat di Dewan Rakyat mendapat respons positif dalam kalangan wakil rakyat di Sabah.
Ahli Parlimen Kalabakan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andy Suryady Bandy berkata, belanjawan yang diberikan kepada Sabah amat bertepatan dengan keperluan rakyat, terutamanya dalam menghadapi kesan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
“Saya percaya Belanjawan 2025 ini akan membawa perubahan positif dan menyokong usaha kita ke arah pembangunan yang inklusif dan berdaya saing.
“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama menyokong pelaksanaan bajet ini demi kebaikan rakyat dan negara selain bersama bergerak ke arah masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin berkata peningkatan belanjawan ini adalah hasil daripada kestabilan politik yang berjaya dibina dan dipertahankan malah terus diperkukuh melalui dasar-dasar awam yang berani dan berpandangan jauh.
“Selaku anak jati Sabah juga, saya berterima kasih kerana negeri Sabah merupakan penerima peruntukan pembangunan yang tertinggi iaitu sebanyak RM6.7 billion selain menaikkan Pemberian Khas Sabah dan Sarawak digandakan sekali lagi kepada RM600 juta.
“Saya melihat usaha berterusan Perdana Menteri dari aspek tatakelola dan komitmen mengurangkan hutang negara melalui langkah penjimatan merupakan ‘tiang seri’ kepada ekonomi negara yang semakin baik saban hari,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, ADUN Kunak, Datuk Norazlinah Arif juga senada agar rakyat Sabah dapat melihat dan bersama menyambut baik pengumuman Belanjawan 2025 yang dibentangkan memberi manfaat pada pembangunan dan rakyat Sabah.
“Inilah hasilnya apabila pemimpin bijak dan fokus berjuang dengan cara dan ikut saluran yang betul.
“Sudah tentu, selaku wakil rakyat Kunak saya berharap Kunak tidak akan terlepas dan akan terus berusaha untuk bersuara,” katanya.






