KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memberi jaminan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya di negara ini kekal mencukupi sehingga akhir Jun depan.
Menerusi kenyataan hari ini, Petronas memaklumkan unjuran terbaharu itu adalah lanjutan daripada jaminan bekalan sehingga akhir Mei yang diumumkan sebelum ini.
Menurut syarikat itu, pengurusan rantaian bekalan terus diperkukuh bagi memastikan ketersediaan bahan api di semua stesen minyaknya, susulan krisis tenaga global yang berpunca daripada konflik di Asia Barat.
“Petronas membekalkan kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api negara menerusi syarikat senarai awam miliknya, Petronas Dagangan Bhd.
“Jumlah selebihnya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, Petronas menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan bahan api sentiasa stabil dan boleh dipercayai oleh rakyat.
“Orang ramai digalakkan membuat pembelian bahan api ini secara bertanggungjawab dan mengikut keperluan harian masing-masing, serta mengelak sebarang tindakan pembelian panik,” katanya.
Tambah kenyataan itu, penggunaan bahan api secara berhemah akan membantu memastikan semua pihak terus mendapat akses kepada bekalan berkenaan tanpa gangguan.
Pada 1 April lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memaklumkan Petronas membantu kerajaan dalam memastikan bekalan minyak dan gas mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei depan.





