
LIMBANG – Penganjuran Bazar Ramadan Limbang tahun ini semakin meriah dengan penyertaan seramai 130 peniaga tempatan, mencatatkan peningkatan berbanding 116 peniaga pada tahun lalu.
Timbalan Residen Bahagian Limbang, Marie Cotilla Louise @ Rozita Kulai berkata, pertambahan jumlah itu mencerminkan perkembangan positif serta sambutan yang semakin memberangsangkan daripada komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail pada Majlis Perasmian Bazar Ramadan Limbang 2026 di Kawasan Parkir Lot 777 di sini.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa Majlis Daerah Limbang (MDL) agar terus memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan, kebersihan tapak perniagaan dan pengendalian makanan melalui pemantauan berterusan.
“Langkah pemantauan ini penting bagi memastikan keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan peniaga serta pengunjung sentiasa terpelihara sepanjang bulan Ramadan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, bazar Ramadan bukan sekadar lokasi utama untuk mendapatkan juadah berbuka puasa, malah berperanan sebagai platform menjana pendapatan usahawan kecil sederhana (PKS) dan memperkukuh ekonomi setempat.
Malah, katanya, penganjuran bazar berkenaan turut menjadi medan terbaik dalam mengeratkan silaturahim dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Lebih istimewa, Bazar Ramadan Limbang terus menjadi tumpuan dan tarikan pelancong dari negara jiran, Brunei Darussalam, selain mendapat sambutan luar biasa daripada masyarakat bukan Islam yang ingin menikmati kepelbagaian juadah.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi MDL, Kaunselor Sufian Mohat serta Setiausaha MDL, Michelle Hildalyne Jering Anthony Luta.





