
KUCHING – Bantuan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) dikredit ke akaun e-dompet Spay Global penerima mulai 18 Februari ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan yang berjumlah RM450 juta yang dijangka dinaikkan lagi.
“Kerajaan Sarawak akan memastikan setiap isi rumah di Sarawak memiliki bekalan makanan asas yang mencukupi,” kata beliau.
Selain itu, ujar beliau, bekalan makanan mencukupi juga dapat memastikan setiap kanak-kanak dapat menikmati makanan yang berkhasiat.
“Kami mahu anak-anak bersekolah dalam keadaan sihat supaya mereka dapat menimba ilmu demi masa depan yang cerah,” jelas beliau ketika berucap sempena Majlis Amanat Perdana Premier 2025 di Pusat Konvensyen Borneo di Kuching pada Isnin.
Sementara itu, Abang Johari berkata, SKAS melambangkan perkongsian kejayaan Sarawak dengan rakyat.
“Inilah hasil berusaha bersama yang membawa kemakmuran sekali gus mencipta masa depan lebih cerah untuk rakyat Sarawak,” ujar beliau lagi.






