
BEKENU – Situasi banjir di Bekenu semakin bertambah buruk apabila 182 mangsa terjejas.
Difahamkan kesemua mangsa terjejas akibat banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, mangsa yang terjejas sangat memerlukan selimut dan bantal.
“Saya juga difahamkan Persatuan Belia Miri turut menghulurkan bantuan yang diperlukan oleh mangsa banjir,” ujar beliau.
Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Sibuti itu berkata, pihaknya juga terputus hubungan dengan bilik gerakan.
“Talian telefon dan Internet terputus dengan sepenuhnya.
“Saya masih khuatir dan bimbang dengan keadaan penduduk Kampung Bulau yang belum pindah ke PPS,” ujar beliau lagi menerusi Facebook rasminya.
Beliau juga sempat berjumpa dengan Pegawai Tadbir (SAO) Liana dan SOA Fazli yang memaklumkan terdapat staf mereka masih terperangkap.
“Saya mencadangkan cari dan kesan mangsa pada waktu siang hari,” kata beliau lagi.
Selain itu, beliau turut memaklumkan pihak tentera (ATM) sudah sampai ke kawasan ‘ground zero’ pekan Bekenu untuk cari dan kesan mangsa.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Belia Miri Mattasan Rohani berkata, bantuan seperti barangan keperluan dan makanan digerakkan oleh ahli persatuan tersebut akan digerakkan untuk membantu pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pihak kami terlibat dalam proses pengagihan bantuan di PPS SMK Bekenu.
Situasi banjir di pekan Bekenu Lama sehingga Niah masih mengalami gangguan bekalan elektrik, telefon dan Internet.
Difahamkan beberapa laluan masih tidak dapat dilalui ekoran paras air semakin tinggi.