KUANTAN – Banjir di Pahang pulih sepenuhnya apabila semua 79 mangsa daripada 27 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi tadi, dibenarkan pulang hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, PPS Dewan Orang Ramai Kampung Semangat, Kuantan dan PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian, Maran, masing-masing ditutup pada jam 2 petang dan 1.30 tengah hari selepas beroperasi sejak 17 Disember lalu, lapor Bernama.
Sementara itu, PPS Sekolah Kebangsaan Pulau Manis, Pekan ditutup pada jam 9 pagi tadi selepas dibuka pada 18 Disember.
Laman web infobanjir pula melaporkan setakat jam 4 petang tadi, paras Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Keratong di Kampung Rekoh, Rompin melepasi tahap bahaya.
Hujan lebat berterusan minggu lalu mengakibatkan beberapa daerah di Pahang dilanda banjir, dengan mangsa dipindahkan ke PPS direkodkan melebihi 13,000 orang.




