
KIMANIS – Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alimin dan Ketua Cabang PKR Kimanis, Niki Ramday mengadakan tinjauan di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bongawan yang menempatkan lebih 200 penduduk terjejas banjir di sini pada Isnin.
Lawatan itu melibatkan PPS Dewan Masyarakat Bongawan dan PPS Dewan SMK Bongawan yang menempatkan mangsa berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Mohamad yang juga Timbalan Menteri Luar Negeri dalam sidang media ringkas berkata, kesiapsiagaan penuh sedang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi menangani situasi banjir di kawasan rendah sekitar Kimanis.
“Setakat pukul 6 petang, tiga pusat pemindahan telah diaktifkan melibatkan pemindahan lebih 200 penduduk,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Sementara itu, Niki Ramday bersama-sama dengan Ketua Wanita Cabang PKR Kimanis, Siti Mariam Ag Nuddin menyampaikan sumbangan makanan dan minuman bersih kepada mangsa di PPS SMK Bongawan sebagai bantuan serta tanda sokongan kepada masyarakat setempat.






