KUANTAN – Kejadian banjir kilat di Cameron Highlands, petang semalam tidak menjejaskan lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong ke kawasan tanah tinggi itu.
Difahamkan, banjir kilat itu berlaku susulan hujan lebat mengakibatkan saluran longkang utama berhampiran perkampungan Orang Asli Sungai Ruil melimpah.
“Ramai orang cakap Cameron Highlands banjir… memang banjir, tapi cuma banjir kilat dan tidak menjejaskan laluan utama.
“Paling terjejas adalah Sungai Ruil dan kebanyakan penduduk mendakwa banjir kilat di kawasan itu adalah perkara biasa setiap kali hujan terlalu lebat,” kata seorang pempengaruh melalui platform TikTok.
Dia turut menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat yang tepat berkaitan kejadian banjir kilat lewat petang semalam.
Katanya, keadaan di Cameron Highlands hari ini adalah normal tanpa sebarang kejadian banjir kilat seperti disebarkan pihak tertentu.
Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang melalui satu kenyataan mengesahkan banjir kilat semalam mengakibatkan 12 keluarga Orang Asli Sungai Ruil dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).
“Bantuan awal sudah diberikan kepada semua yang ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Sungai Ruil.
“Kami merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan semua yang membantu memudahkan proses pemindahan penduduk,” kata kenyataan itu.





