
KAPIT – Empat penghuni terjejas apabila rumah kediaman mereka di Rumah Ekau Sungai Senawang di Jalan Sibu-Kapit dinaiki oleh air setinggi empat kaki.
Menurut Jurucakap Pusat Operasi Bomba Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.15 pagi.
“Anggota bomba turut menggunakan perahu penduduk kerana jalan terjejas akibat banjir.
Difahamkan keempat-empat penghuni rumah tersebut berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke rumah saudara mereka.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau turut dimaklumkan beberapa kawasan Kapit mengalami banjir.
“Saya dimaklumkan lima buah sekolah terjejas akibat banjir termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Yong, SK Bena Sut, SK Nanga Kebiaw, SK Nanga Antaroh dan SK Nanga Bena,” kata beliau lagi.
Bagaimanapun, ujar beliau, beberapa sekolah seperti SK Nanga Kebiaw, SK Nanga Antaroh, SK Nanga Bena sudah surut.
“Selain sekolah, beberapa kawasan turut dilanda banjir seperti Kampung Muhibbah di Jalan Bleteh, Kampung Baru di Jalan Abang Suhaili, Lorong 7 Jalan Airport dan Ng Seranau,” jelas beliau.
Selain itu, beliau turut dimaklumkan beberapa jalan dan bekalan elektrik terpaksa diputuskan sementara iaitu Sungai Sibau (RH John Ramba), RH Riti, Ng. Tulie, Kawasan Pulau Pisang dan Ng. Baleh.
“Saya mengarahkan pihak yang bertanggungjawab untuk membantu penduduk yang menghadapi bencana banjir buat masa ini,” kata beliau.
Selain itu, beliau turut berdukacita atas kejadian yang berlaku dan berharap penduduk mematuhi arahan pihak berkuasa yang bertugas demi keselamatan masing-masing.








