
JOHOR BAHRU – Susulan hujan berterusan sejak semalam, 10 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini terpaksa dibuka selepas tiga daerah dilaporkan terjejas akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat jam 8 pagi tadi, sebanyak enam buah PPS di Johor Bahru, dua di Kulai dan dua lagi di Pontian terpaksa dibuka.
“Sehingga kini, seramai 893 mangsa terdiri daripada 257 keluarga ditempatkan di semua PPS.
“Johor Bahru setakat ini yang teruk terjejas dengan 567 mangsa daripada 165 keluarga dipindahkan ke PPS, diikuti Kulai dengan merekodkan 269 mangsa daripada 76 keluarga.
“Pontian pula mencatatkan jumlah 57 mangsa daripada 16 keluarga, yang juga penduduk Kampung Paya Embun, Kampung Pak Karib, Kampung Melayu Raya, Kampung Seri Meranti dan Kampung Parit Sikom yang kini dipindahkan ke PPS,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) masih mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah di negeri ini.
Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku sehingga esok.






