KOTA BHARU – Hujan lebat selama beberapa jam sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan sekitar bandar Kota Bharu dilaporkan dinaiki air.
Rakaman video menunjukkan kejadian banjir itu turut dikongsikan pengguna media sosial.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Farhan Sufyan Borhan ketika dihubungi Berita Harian bagaimanapun memaklumkan setakat ini, pihaknya tidak menerima aduan berhubung banjir di negeri ini.
Beliau berkata, ada kemungkinan air naik selama beberapa jam di sesetengah kawasan sebelum kembali surut.
“Ini disebabkan hujan lebat sejak awal pagi lagi. Namun setakat ini, tiada banjir berlaku di kawasan penempatan penduduk.
“Pihak kami akan membuat pemantauan dari semasa ke semasa memandangkan hujan masih lebat,” katanya sambil meminta orang ramai membuat aduan dengan segera jika berlaku banjir,” katanya
Selain itu, beliau berkata, pengguna jalan raya dinasihatkan lebih berhati-hati ketika memandu dan digalak menggunakan aplikasi seperti Waze atau Google Maps bagi mengelak sebarang laluan yang terjejas banjir.
“Kami juga menjangkakan aliran trafik keluar dari Kelantan bermula hari ini.
“Pengguna jalan raya diminta lebih berhati-hati ketika memandu dalam keadaan jalan licin dan jarak penglihatan mungkin terjejas ketika hujan,” katanya.





