
BUKIT JALIL – Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) bagi takwim Kejohanan Akuatik tahun 2024 sudah melabuhkan tirainya pada 19 September.
Bagi takwin kali ini, sebanyak lima acara sukan dipertandingkan yang berlangsung sejak 13 September lalu di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kontijen Sarawak yang telah mewakili acara akuatik, berjaya merangkul kejohanan bagi acara tersebut.
Biarpun acara renang tewas di tangan Wilayah Persekutuan, namun penambahan pingat bagi sukan terjun dan polo air berjaya menyumbang kepada kemenangan tersebut.
Seramai 30 perenang, tujuh atlet bagi polo air dan 11 atlet sukan terjun diterbangkan ke Kuala Lumpur sehari sebelum pertandingan berlangsung diiringi oleh 11 pegawai.
Apabila diajukan soalan kepada Ketua Pengurus Pasukan Norli Sidek mengenai perkembangan atlet bagi MSSM kali ini, beliau berkata banyak berlaku perkembangan yang positif pada tahun ini berbanding tahun lalu.
“Saya berharap agar atlet ini sentiasa memajukan diri serta meningkatkan kemahiran yang sedia ada kerana Sarawak mempunyai atlet yang cukup berbakat dibantu oleh sistem sokongan yang baik daripada keluarga mahupun kerajaan Sarawak,” ujarnya ketika ditemui pada penutupan majlis tersebut pada Khamis.

Antara peserta yang menyerlah ialah penerjun Sukma Sarawak, Muhammad Lutfir Rahman yang meraih dua pingat emas dalam acara 1 meter dan 3 meter papan anjal lelaki bawah 15 tahun.
Turut menyumbang adalah rakan sukan terjun SUKMA, Cecelia Olivia, yang meraih emas dalam acara 3 meter papan anjal perempuan bawah 15, dan Soh Tze Kang, yang mendominasi papan anjal 3 meter lelaki bawah 18 Tahun.
Manakala dalam kategori Perempuan Bawah 12 Tahun pula, dimenangi oleh Nur Ikmas Darwisyah Ikeram, kutipan emas dalam acara 1m dan 3m papan anjal.
Siti Nurul Jannah Malik juga mencatatkan pingat perak dalam acara 3 meter papan anjal perempuan bawah 12 dan gangsa dalam 1 meter papan anjal, manakala Cecelia menambah gangsa dalam 1 meter papan anjal perempuan bawah 15 tahun
Seorang lagi penerjun SUKMA, Dayang Nursharzyra Awang Nasaruddin, memperoleh dua pingat perak dalam acara 1 meter dan 3 meter papan anjal wanita bawah 18 tahun.
Diikuti oleh Soh menambah perak kepada koleksinya dalam papan anjal 1m Lelaki Bawah 18 Tahun.
Penerjun Sukma Nurul Farisya Alia memperoleh perak dalam acara 1 meter papan anjal perempuan bawah 15, manakala Samuel Chung Shi Yen memperoleh perak dalam 1 meter papan anjal lelaki bawah 15 tahun sebagai melengkapi acara sukan terjun yang cemerlang daripada kontijen Sarawak.
Kejohanan MSSM merupakan kejohanan peringkat tinggi di peringkat sekolah setelah atlet yang terdiri daripada pelajar melepasi kejohanan peringkat sekolah, (MSSD) dan negeri (MSSN).
Hanya sukan tertentu yang akan dipertandingkan pada setiap tahun di peringkat MSSM dan takwim akan dikeluarkan lebih awal bagi memudahkan pemilihan atlet pada peringkat sekolah, daerah dan negeri dibuat terlebih dahulu.
Selain itu, sebanyak 24 jenis acara sukan dipertandingkan bagi setiap takwin.
Tujuan penubuhan MSSM adalah mengamalkan konsep sukan di samping mencungkil bakat atlet muda yang baharu untuk kecemerlangan selaras dengan Dasar Sukan Negara.