PUTRAJAYA – ASEAN tidak akan bertindak balas terhadap tarif timbal balas dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada semua negara di rantau itu.
Dalam satu kenyataan bersama oleh Menteri Ekonomi ASEAN hari ini, ia berkata, berdasarkan kepada perkembangan ini, mereka menyatakan hasrat bersama untuk mengadakan dialog terbuka dan membina dengan AS bagi menangani kebimbangan berkaitan perdagangan.
“Komunikasi terbuka dan kerjasama akan menjadi kunci kepada usaha mengekalkan hubungan yang seimbang dan mampan.
“Dalam semangat ini, ASEAN komited untuk tidak mengenakan sebarang tindakan balas terhadap tarif dikenakan AS,” katanya.
Menurut kenyataan bersama itu, Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) menegaskan hubungan kerjasama kukuh dan berterusan antara ASEAN dan AS.
Katanya, sebagai Rakan Strategik Komprehensif (CSP) ASEAN, AS memainkan peranan penting lebih empat dekad dalam membina pembangunan serantau berteraskan ASEAN – yang mempromosikan keamanan, kestabilan, pertumbuhan ekonomi, pelaburan dan perdagangan – di rantau ini.
“Pada 2024, ASEAN adalah rakan dagang kelima terbesar bagi AS. ASEAN, selaku ekonomi kelima terbesar di dunia, amat prihatin terhadap pengenalan tarif sehala oleh AS baru-baru ini, termasuk tarif yang diumumkan pada 2 April 2025 dan penggantungan terkini semalam.
“Langkah ini menimbulkan ketidaktentuan dan bakal membawa cabaran besar kepada dunia perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta terhadap dinamik perdagangan global.
“Tindakan luar biasa pelaksanaan tarif oleh AS ini akan mengganggu aliran perdagangan dan pelaburan serantau serta global, termasuk rantaian bekalan, sekali gus memberi kesan kepada perniagaan dan pengguna di seluruh dunia, termasuk di AS sendiri,” katanya.
Kenyataan bersama itu menegaskan, ASEAN menganggap AS sebagai rakan ekonomi ASEAN yang lama terjalin dan sangat dihargai, selain kekal komited untuk melindungi kepentingan ekonomi serta mengekalkan hubungan dagangan yang kukuh dan saling menguntungkan dengan AS.








