PUTRAJAYA – ASEAN tidak akan berundur dan tergesa-gesa dalam mendepani cabaran semasa, sebaliknya akan membina semula untuk membentuk sesuatu yang lebih baik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, pada masa ini rantau berkenaan bukan lagi wilayah terpencil dalam ekonomi global, sebaliknya berada di tengah-tengahnya.
Namun begitu katanya, pengaruh ASEAN tetap bergantung kepada perpaduan, keupayaan bersuara secara bersama dan bertindak dengan niat yang dikongsi bersama.
“Bagi ASEAN, jawapannya (kepada isu) bukan untuk berundur, juga bukan untuk tergesa-gesa.
“Rantau kita ditempa dengan pelbagai cabaran – daripada kejutan mata wang hingga wabak global, kita melaluinya semua.
“Setiap kali, kita bukan sahaja membina semula, tetapi membentuk sesuatu yang lebih baik,” katanya dalam ucaptama majlis makan malam gala sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia dalam ‘Finance Track’, di ibu negara, malam tadi.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Bagaimanapun, Anwar berkata, daya tahan sahaja tidak mencukupi tanpa hala tuju jelas kerana dunia tidak menunggu dan ASEAN juga tidak boleh ketinggalan.
“Inilah sebabnya Kepengerusian Malaysia berpegang kepada tema Kelestarian dan Inklusiviti – bukan sebagai hiasan retorik, tetapi sebagai cita-cita yang nyata dan boleh dilaksanakan,” katanya.






