NEW YORK – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah mencapai persetujuan dengan ahli perniagaan kelahiran Malaysia yang kini dalam buruan, Jho Low untuk memulangkan lebih AS$100 juta (RM471 juta) yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Aset yang dimaksudkan ialah karya seni oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet serta sebuah apartment mewah di Paris akan dicairkan dan aset bernilai AS$67 juta (RM315.7 juta).
“Perjanjian itu menyelesaikan tindakan rampasan sivil terhadap sebuah apartmen mewah di Paris dan karya seni yang terletak di Switzerland oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet, yang dibeli Low dengan jumlah keseluruhan kira-kira AS$35 juta (RM165 juta).
“Selain itu, pihak berkenaan juga bersetuju untuk memulangkan kepada Malaysia hartanah dan wang tunai dalam akaun bank bernilai kira-kira AS$67 juta (RM315.7 juta) yang terletak di Hong Kong, Switzerland dan Singapura,” kata Jabatan Kehakiman AS.
Aset itu akan menambah kira-kira AS$1.4 bilion (RM4.7 bilion) yang telah dikembalikan dengan bantuan AS. Secara keseluruhan, lebih AS$4.5 bilion (RM21.2 bilion) didakwa dicuri daripada dana 1MDB.
AS berkata, sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai dengan Jho Low, keluarga dan entiti yang ditubuhkannya, ia akan menyelaraskan dengan negara asing untuk memindahkan aset yang dipegang di luar negara ke Malaysia, lapor Astro Awani.
Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho didakwa dalam skandal kewangan berprofil tinggi, 1MDB, yang menyaksikan berbilion-bilion dolar dana negara digelapkan.






