
LAHAD DATU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Lahad Datu berjaya menahan dua buah bot atas kesalahan mengubah suai tangki minyak dan gagal melaporkan pertukaran nakhoda.
Pengarah Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan dalam Ops Pluto Timur 2/2013/ Ops Tiris 3.0 di kedudukan 3.7 batu nautika tenggara Pulau Sakar, kira-kira pukul 2.55 petang, pada Jumaat.
“Penahanan pertama dibuat ke atas bot lampu berwarna hijau putih dikendalikan seorang warga Indonesia bersama seorang palauh manakala penahanan seterusnya membabitkan bot nelayan tempatan yang dikendalikan seorang warga Indonesia dan lima palauh.
“Kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 telah dilakukan bot lampu kerana mengubah suai tangki minyak tanpa kebenaran dan mempunyai lesen tamat tempoh, manakala bot nelayan tempatan telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) atas kegagalan melaporkan pertukaran nakhoda,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Dzulfikar, kesemua tahanan berumur 25 hingga 40 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan yang sah.
“Kesemua kru dan dua buah bot yang bernilai kira-kira RM350,000 dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tegasnya, APMM tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden yang berlaku di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera,” tambahnya.





