
KOTA KINABALU – Selaras gagasan Malaysia Madani yang mahukan kesejahteraan rakyat, i-Sign merupakan aplikasi ilmu agama sesuai untuk semua golongan khususnya Orang Kurang Upaya (OKU) pekak.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ruslan Muharam berkata, pembinaan i-Sign merupakan titik tolak kepada semua golongan masyarakat, khususnya OKU bagi mempelajari ilmu agama dengan lebih mudah dan mendalam.
“Melalui wasilah i-Sign ini, bukan saja bermanfaat bagi golongan OKU pekak, tetapi juga sebagai medium bagi seluruh masyarakat untuk berkhidmat kepada golongan yang memerlukan.
“Pembelajaran ilmu agama kini boleh diakses dengan paparan skrin peranti sendiri melalu aplikasi i-Sign yang telah mula diperkenalkan tahun ini dan akan disusuli dengan kursus-kursus berkaitan pada tahun mendatang.
“Saya menyeru agar orang ramai bersama-sama mempelajari i-Sign bagi membolehkan kita menyantuni golongan OKU, berkhidmat kepada mereka dengan mengajar atau mendedahkan urusan berkaitan ilmu agama dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika merasmikan Program Bicara Madani: Emansipasi OKU, bertempat di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS), di sini, pada Rabu.
Sehubungan itu, Penolong Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Dr Fazlulaini Mohd Yunus berkata, kurangnya isyarat bagi istilah-istilah berkaitan Ibadah dalam Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) antara faktor yang mengekang golongan OKU pekak untuk mempelajari dan mempraktikkan ilmu agama dalam kehidupan seharian, maka ditubuhkan i-Sign sejak dari tahun 2017.
“Kumpulan penyelidik dari Unit Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah mengambil inisiatif untuk membangunkan satu perisian mesra OKU pekak iaitu I-Sign.
“Antara yang terlibat membangunkan i-Sign, termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jurubahasa Isyarat (JBI),Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (Nesda), Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (Prisma), Persatuan Bahasa Isyarat Malaysia dan Pengajian Pekak (MyBIM), Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Persatuan Orang Pekak Selangor (POPS) dan wakil penyelidik Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),” katanya ketika menyampaikan ceramah.
Untuk maklumat lanjut berkenaan aplikasi i-Sign, orang ramai boleh merujuk terus ke portal rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).