DATUK Seri Anwar Ibrahim mengucapkan Selamat Menyambut Perayaan Songkran kepada seluruh masyarakat Siam di Malaysia.
Perdana Menteri berkata, perayaan Songkran di Malaysia, yang disambut komuniti Thai terutama di negeri Kedah, Perlis dan Kelantan, membawa simbolik mempererat hubungan kekeluargaan dan komuniti.
Ia juga menandakan permulaan tahun baharu yang suci, penghormatan kepada generasi terdahulu serta pengukuhan ikatan masyarakat yang diraikan dengan penuh adat dan budaya yang kaya.
“Sambutan ini juga mengingatkan kita semua bahawa perpaduan bukan sekadar terletak pada toleransi, tetapi turut merangkumi pengiktirafan dan penghargaan terhadap warisan budaya setiap komuniti.
“Masyarakat Siam adalah sebahagian penting daripada mozaik kebangsaan kita, yang turut menyumbang kepada kekayaan identiti Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan MADANI sentiasa memelihara dan meraikan kepelbagaian, serta mengajak seluruh rakyat untuk terus memupuk semangat saling memahami dan memperkukuh perpaduan demi kemakmuran bersama.
Sambutan Songkran adalah perayaan Tahun Baharu tradisional bagi masyarakat Thailand dan beberapa negara di Asia Tenggara, termasuk masyarakat Siam di Malaysia.







