PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunaikan solat Jumaat bersama masyarakat setempat dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Putrajaya, Presint 11, di sini.
Beliau yang tiba kira-kira pukul 1.10 tengah hari disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan warga SMKA Putrajaya.

Sejurus tiba, beliau turut berkesempatan melancarkan Laman Hadis 40 Imam Nawawi, SMKA Putrajaya.
Solat Jumaat berkenaan diimamkan Ma’aruf Ishak Khairul itu disertai lebih 1,000 jemaah.
Anwar bersama jemaah turut mendengar khutbah Jumaat bertajuk ‘Bahagia Memberi, Syurga Diganjari’ yang disampaikan oleh Ma’aruf.
Isi khutbah yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu mengingatkan jemaah supaya menguruskan hak-hak harta bersama penyucian jiwa menerusi amalan berzakat, infak dan berwakaf.
Pada masa sama, khutbah Jumaat menyeru jemaah agar teladani amalan sahabat Rasulullah SAW yang sanggup berkorban harta dan mengharap janji Allah sebagai balasan.
Ma’aruf berkata, keperluan bagi umat Islam bersegera dalam menunaikan kewajipan berzakat dan melaksanakan amalan wakaf, menerusi saluran yang disediakan kerajaan bagi menjamin keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.

Selepas solat, jemaah tidak melepaskan peluang bersalaman dan berswafoto dengan Perdana Menteri sebelum pemimpin berjiwa rakyat itu beredar meninggalkan surau.
Terdahulu, Anwar yang memakai baju melayu berwarna biru cair turut berkesempatan menikmati sajian makan tengah hari di Selera Warikh N9, di Medan Selera Presint 11, di sini sekitar jam 12.50 tengah hari.
Kunjungan ke masjid terpilih di seluruh negara menjadi antara rutin Anwar pada setiap Jumaat sejak menerajui kerajaan pada November 2022.
Selain menunaikan solat Jumaat, kesempatan mengunjungi masjid terpilih digunakan Perdana Menteri untuk mendengar sendiri aduan berkaitan masalah setempat disampaikan rakyat.




