PUTRAJAYA – Usaha Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa usul bagi menghalang Israel melenyapkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) adalah tindakan berani.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Dzul Aiman Zulkefly berkata, ketegasan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menangani kuasa besar Israel dalam isu pembebasan Palestin perlu disahut oleh seluruh negara Islam yang lain.
Menurutnya, hakikatnya Israel ketika ini sedang menunjukkan kekuasaannya ke atas semua badan antarabangsa tanpa ada pihak yang boleh menghalangnya.
“PKPIM menzahirkan solidariti penuh terhadap perjuangan pembebasan Palestin yang kini berada di bawah penindasan genosid Israel yang kejam dan berlarutan sekian lama
“Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam yang melampaui batas kemanusiaan dan menginjak-injak undang-undang antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Dzul berkata, PKPIM menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama berdoa untuk kejayaan dan perlindungan kepada Perdana Menteri dalam memperjuangkan keadilan dan kebebasan Palestin pada Sidang Kemuncak Bersama Tergempar Negara-Negara Arab dan Islam di Riyadh di Arab Saudi.
“PKPIM bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan telah menganjurkan program bacaan Yasin dan solat hajat di surau serta sekolah di seluruh negara bagi memohon perlindungan dan pembebasan untuk rakyat Palestin.
“Semoga Allah melimpahkan kekuatan kepada beliau untuk membawa suara umat Islam demi kemerdekaan Palestin yang telah lama dinantikan,” katanya.
Kelmarin, Anwar menyeru masyarakat
dunia untuk membina kesepakatan
bagi menggantung atau menyingkirkan lsrael daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atas tindakan Israel yang melampaui batas, kewarasan dan kemanusiaan dengan
melakukan genosid terhadap rakyat
Palestin.
Berucap dalam sidang kemuncak itu
beliau turut memberi amaran bahawa
jika dunia gagal bertindak, keganasan
itu boleh merebak dan membahayakan
seluruh kawasan kerana jejak kekejaman Israel telah pun merebak ke Lubnan, Yemen, Syria, Iraq dan Iran.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, membela umat Islam Palestin serta perjuangan rakyat negara itu bukan sesuatu yang mudah dilakukan jika tidak mempunyai keberanian yang tinggi dan takut berhadapan dengan risiko.
Jelasnya, kerjasama erat perlu dilakukan untuk membangunkan semula Gaza yang telah hancur dilanyak Israel agar keadilan dapat ditegakkan demi membela rakyat Palestin yang dizalimi.
“Ketika negara Islam lain khususnya negara Arab dilihat tidak berani dalam memperjuangkan isu Palestin, Malaysia di bawah kepimpinan Anwar langsung tidak gentar dan lantang di persada antarabangsa dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin yang telah ditindas sejak sekian lama oleh rejim Zionis.
“Justeru, tidak hairanlah sekiranya umat Islam di seluruh dunia sangat mengharapkan Malaysia untuk terus berperanan dalam membela Palestin menghadapi kekejaman dan kezaliman Zionis yang tidak pernah terpadam.
“Negara-negara Arab dan Islam lain tidak sepatutnya berdiam diri dan terus berpeluk tubuh melihat kekejaman dilakukan Israel yang tidak bertamadun itu. Kekejaman dan kezaliman mereka perlu dihentikan dengan segera,” katanya.







