
IPOH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perasaan amat kesal dan sedih atas sikap sesetengah pihak yang mengecam dan mengkritik langkah Kerajaan Madani menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.
Beliau berkata, ada dalam kalangan mereka, khususnya pemimpin veteran yang sanggup mencerca usaha murni berkenaan, sedangkan ia merupakan tanggungjawab kecil yang dilakukan atas dasar belas kasihan dan ihsan terhadap rakyat Palestin yang cedera parah akibat menjadi mangsa kezaliman Zionis Israel.
“Apa saja keputusan yang kita buat ini memang kontroversial, saya umumkan beberapa hari lalu untuk Wakaf Gaza ini, sebagai negara kecil kita mulakan dan saya maklumkan kepada semua dan saya dapat kerjasama dari Perdana Menteri Jepun, Ishiba supaya saya tak mahu mereka menyisihkan kepentingan, keadilan, kemanusiaan jadi kita mula bina satu sekolah, satu hospital, satu masjid.
“Ada yang kata tak cukup, satu pihak ini dia kata main-main, ini jumlah dia ratus juta. Ada pula golongan yang kononnya cerdik, pemimpin-pemimpin lama dulu, ada satu orang kata ini sekolah kita pun tak selesai, nak tolong orang lain. Ini perasaan hati manusia negara mana ni.
“Kita tolong orang kampung lain, orang boleh kata kampung kamu pun belum selesai tapi dalam Islam dia tidak pernah fikir begitu. Kesengsaraan yang dihadapi oleh umat Islam Gaza, Palestin, Arab ini, jarang berlaku dalam hidup kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di sini, hari ini.
Terdahulu, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menerusi kenyataan berkata, pemimpin Malaysia perlu memberi keutamaan kepada keperluan rakyat sebelum memulakan rancangan untuk membangunkan semula Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis.
Jelasnya, inisiatif berkenaan merupakan satu perkara yang wajar dipuji, namun beberapa perkara perlu diambil kira.
Rafidah turut merujuk kepada keadaan ‘menyedihkan’ di sekolah-sekolah luar bandar yang sering diketengahkan oleh pengamal media.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan, tindakan mempersoalkan usaha membantu rakyat Palestin tidak seharusnya dilakukan oleh mana-mana pihak di negara ini susulan masyarakat Malaysia terkenal dengan adat ketimuran, keprihatinan dan rasa kasih sayang.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menasihati orang ramai supaya tidak terbuai dengan slogan diketengahkan sesetengah pihak, menggunakan isu Palestin sebagai modal dalam mewujudkan persepi negatif terhadap Kerajaan Madani.
“Sejak Perang Dunia Kedua sampai sekarang. Inilah malah petaka paling dahsyat yang menimpa umat Islam, menimpa umat manusia. Hancur lebur negerinya (Palestin), dihina terus, tidak beri pengikirafan sama sekali.
“Anak kecil, wanita, sekolah habis dimusnahkan dan bila kita nak tolong sedikit, apa jawapan mereka? ‘Oh nak selesaikan masalah’, sudah sampai kiamat pun dalam masalah dalam negara tidak mungkin selesai, ada saja yang kurang-kurang di mana, tetapi kita lakukan sedikit,” katanya.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin.
Perdana Menteri berkata, usaha itu akan direalisasikan dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.
Beliau turut memaklumkan, kerajaan Malaysia dan Jepun juga berjaya mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan.