
DATUK SERI Anwar Ibrahim mencadangkan supaya diwujudkan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Malaysia-Thailand dengan pembabitan sektor swasta dan syarikat pemula.
Cadangan itu disampaikan Perdana Menteri ketika menerima kunjungan hormat Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa di pejabatnya, di Putrajaya, semalam.
“Selain sektor getah dan makanan, turut dicadangkan penubuhan SEZ termasuk penglibatan sektor swasta dan syarikat pemula. Sayugia, pembabitan mereka boleh menarik lebih banyak pelaburan ke dalam SEZ.
“Malah saya mencadangkan supaya Kelantan mengambil peluang membina ruang perniagaan di sepanjang sungai Sungai Golok,” katanya menerusi perkongsian di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, beliau dan Maris turut berbincang mengenai pengorekan muara Sungai Golok bagi menangani isu banjir bertujuan membantu komuniti di sepanjang sempadan yang menghadapi bencana itu hampir setiap tahun.
“Saya juga menyatakan komitmen Malaysia terhadap Proses Dialog Keamanan Selatan Thailand. Kedua-dua negara juga bersetuju untuk Malaysia menjadi tuan rumah Perundingan Tahunan Ke-7 pada 19 September 2024,” katanya.
Selain itu, Anwar juga membincangkan hasil lawatan kerjanya bersama Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisn ke Sungai Golok, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan, minggu lalu.
“Moga hubungan kedua-dua negara berjiran ini terus utuh dan kekal harmoni,” katanya.
Sabtu lalu, Anwar dan Srettha mengadakan lawatan kerja ke Rantau Panjang dan Sungai Golok bertujuan menilai kemajuan projek naik taraf jambatan menghubungkan kedua-dua kawasan, iaitu satu daripada inisiatif utama kesalinghubungan sempadan kedua-dua negara.