GUA MUSANG – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas Tan Sri Annuar Musa yang disifatkan gagal menyelesaikan isu peneroka sewaktu memegang jawatan sebagai menteri.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bekas Setiausaha Agung UMNO itu sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar.
“Saya tak mahu menyentuh mana-mana peribadi individu tetapi kalau individu itu pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar sepatutnya masalah itu (peneroka) selesai ketika beliau jadi menteri.
“Kenapa semasa di pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri ini perkara itu ditimbulkan… kegagalan masa dia, saya dan kerajaan sekarang terpaksa selesaikan.
“Tidak mengapa, demi rakyat dan peneroka, kita akan bantu selesaikannya,” katanya pada sidang media selepas Program Temu Mata Masyarakat Jeram Tekoh, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Datuk Zawawi Othman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Terdahulu, Annuar menerusi ceramah malam tadi mencadangkan kerajaan negeri membuat penyerahan tanah di bawah Kesedar secara terus kepada peneroka.
Ketua Operasi Pakatan Nasional (PN) PRK Nenggiri itu berkata, sehingga kini terdapat tanah di bawah Kesedar masih belum dijelaskan bayaran premium kepada kerajaan negeri.





