
SARIKEI – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden seorang anak kapal jatuh ke dalam sungai berhampiran Wharf Leader Susur Jambu, Sarikei.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, insiden berlaku pada 6:12 pagi, melibatkan sebuah kapal M.V EE TAI NO 1 yang dikendalikan oleh syarikat Ee Tai Shipping Sdn Bhd dari Kuching.
Mangsa, Min Wai Lin, merupakan warganegara Myanmar berusia 45 tahun, dipercayai terjatuh dari kapal tersebut sebelum sempat kapal berlabuh di jeti.
Usaha awal oleh rakan-rakan anak kapal untuk menyelamatkan mangsa menggunakan alat Life Ring Buoy gagal, dan mangsa disyaki tenggelam di Sungai Rajang.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada jam 09:30 pagi, dan jentera penyelamat tiba di lokasi kejadian pada 9:38 pagi.
Komander operasi, PPgB Mahmudin Narudin, memaklumkan bahawa operasi SAR menggunakan kaedah pencarian permukaan air sedang dijalankan dengan kekuatan 26 anggota SAR.
Operasi tersebut turut melibatkan pencarian dalam radius 5 km dari lokasi mangsa jatuh.
Beberapa pasukan yang terlibat dalam operasi ini termasuk JBPM Sarikei, Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM, dan pasukan tempatan.
Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR ini diteruskan hari ini dengan bantuan 6 anggota JBPM, 1 jentera D-Max, dan 1 bot penyelamat.
Agensi lain yang turut terlibat adalah PDRM dengan 12 anggota, LSS dengan enam anggota, dan APM dengan empat anggota.






