PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, mengambil alih tanggungjawab dalam menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkara itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lepas.
“Tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskhah Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025,” katanya menerusi kenyataan, pada Jumaat.
Terdahulu, jawatan menteri ekonomi kosong susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli selepas kalah dalam pemilihan timbalan presiden PKR.
Rafizi dilaporkan berkata, beliau menyelesaikan RMK13 sebelum meletak jawatan, yang disifatkannya tanggungjawab terakhirnya sebagai menteri ekonomi.
Katanya, dokumen itu didraf bagi memberi penekanan lebih kepada reformasi menyeluruh, termasuk membabitkan Kementerian Pendidikan.
Susulan peletakan jawatannya, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) bulan lalu menggesa Putrajaya mengekalkan kesinambungan dasar dan komitmen terhadap reformasi ekonomi jangka panjang.
Pengerusi Samenta, Datuk William Ng dilaporkan berkata, RMK13 tidak sepatutnya dilihat sebagai visi seorang menteri, tetapi pelan induk negara yang lahir daripada rundingan menyeluruh dan keperluan mendesak.






