PARTI Amanah Pahang akan menyertai Himpunan Raja Berdaulat yang dijadualkan Khamis ini di Kuantan.
Pengerusinya, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, keputusan itu dibuat selaras dengan prinsip Amanah yang sentiasa menjunjung kedaulatan Raja Raja Melayu, terutama Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Amanah berikrar akan mempertahankan kedaulatan Raja Raja Melayu dengan segala daya upaya tanpa sebarang hipokrasi dan penuh ketegasan.
“Justeru, Amanah Pahang akan mengerahkan seluruh ahli bersama rakyat Pahang untuk turun ke himpunan tersebut tanpa mengira fahaman politik,” katanya menerusi satu kenyataan.
Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat anjuran Badan Kebajikan Kerabat-kerabat Pahang dengan Kerajaan Pahang itu bakal diadakan di Masjid Negeri, dekat Kuantan, bermula jam 7 malam.
Antara pengisian himpunan adalah solat Maghrib dan solat hajat, bacaan Yasin, tahlil, solat Isyak dan diakhiri dengan himpunan aman di perkarangan masjid.




