
KOTA KINABALU – Sabah Electricity menyambut baik penjadualan semula aktiviti senggaraan di Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) milik Petronas, yang ditunda daripada 1 Ogos kepada 5 Ogos.
Menurut kenyataan Sabah Electricity, penjadualan semula itu membolehkan dua loji janakuasa bebas (IPP) melaksanakan penukaran operasi daripada gas kepada diesel dengan lebih lancar, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan elektrik berskala besar di Sabah dan Labuan.
“Proses ini memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang teliti bagi memastikan kesinambungan bekalan tenaga kepada pengguna,” menurut kenyataan tersebut pada Khamis.
Sabah Electricity menghargai kerjasama semua agensi dan berharap IPP yang terlibat dapat menjalankan persiapan teknikal dengan cekap dan mengikut jadual.
Sebelum ini, pada Rabu, Sabah Electricity memaklumkan kemungkinan berlaku catuan bekalan elektrik berskala besar susulan aktiviti senggaraan berjadual SOGT yang dijangka akan menjejaskan sekitar 600,000 pengguna domestik di Sabah dan Labuan.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar merayu kepada Petronas agar menangguhkan kerja-kerja penyelenggaraan ke tarikh yang lebih sesuai, mengambil kira cuaca panas semasa dan keperluan tenaga yang tinggi di negeri ini.





