ALOR SETAR – Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) melucutkan keahlian lapan nelayan di seluruh negara yang didapati bersalah terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan diesel.
Pengerusinya, Abdul Hamid Bahari berkata, tindakan pelucutan keahlian itu dilakukan nelayan terbabit dikesan menyalahguna diesel subsidi yang disalurkan kerajaan kepada mereka.
Menurutnya, beliau berharap pemecatan itu menjadi pengajaran kepada ahli lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.
“Saya menasihatkan semua ahli persatuan supaya peka dan berhati-hati dalam hal ini terutama penyelewengan diesel.
“Jangan hanya kerana ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’, kita harap apa yang dibuat memberi kebaikan kepada semua nelayan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Jamuan Aidilfitri di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah LKIM Kedah, Ahmad Zulkifli Ismail.
Katanya, kerajaan mengambil berat kes penyelewengan diesel terutama pihak LKIM yang bertanggungjawab dalam menguruskan subsidi ini.





