PUTRAJAYA – Akaun TikTok yang dipercayai digunakan untuk menjual dadah secara dalam talian telah berjaya disekat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya telah menerima aduan berkaitan aktiviti penjualan dadah yang dimuat naik melalui aplikasi X oleh seorang pengguna.
“Aduan dimuat naik dalam laman X tentang dakwaan jualan dadah dalam aplikasi TikTok, carian pagi tadi telah menunjukkan pihak TikTok telah mengambil tindakan untuk menurunkan akaun atau secara lebih tepat akaun itu sudah tidak boleh diakses di Malaysia.
“Walau bagaimanapun, berdasarkan produk tersebut, saya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meluaskan siasatan dan carian mana-mana pihak lain yang cuba jual dadah seperti ini dalam aplikasi-aplikasi lain,” katanya dalam Sidang Media Mingguan pada Rabu.
Menurut Fahmi, pihak SKMM juga telah membuat laporan polis berkaitan perkara tersebut hari ini.
“Laporan polis telah dibuat, SKMM serahkan pada pihak polis untuk menyelenggara dan menguruskan siasatan.
“Tapi SKMM akan hubungi pihak TikTok untuk dapat tahu apakah yang telah membolehkan akaun seperti ini beroperasi untuk satu jumlah yang kita tak tahu berapa lama tapi mereka boleh menjual dadah dalam platform TikTok,” ujarnya.




