
KUCHING – AirBorneo mengumumkan pelancaran rasmi laman web dan pusat panggilannya bermula 10 Disember 2025, sekali gus menandakan permulaan jualan tiket penerbangan susulan pengambilalihan MASwings yang dijadualkan berkuat kuasa hujung Disember ini.
Menurut kenyataan itu, penumpang yang ingin membeli tiket bagi perjalanan sehingga 13 Januari 2026 perlu terus menggunakan laman sesawang rasmi MASwings di www.maswings.com.my.
Manakala bagi perjalanan bermula 14 Januari 2026 dan seterusnya, semua pembelian tiket hendaklah dibuat melalui laman sesawang rasmi AirBorneo di www.airborneo.com atau menerusi pusat panggilan di talian 1-300-22-1388 (percuma untuk panggilan tempatan) dan +60 82-537 555 bagi panggilan antarabangsa.
Selain itu, AirBorneo memberi jaminan semua tiket dan tempahan sedia ada MASwings kekal sah, tanpa sebarang perubahan terhadap jadual penerbangan yang telah ditetapkan.
“Penumpang yang mempunyai tiket MASwings bagi perjalanan bermula 14 Januari 2026 akan dihubungi secara individu berhubung proses pengeluaran semula tiket di bawah AirBorneo,” menurut kenyataan itu lagi.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.airborneo.com dan merujuk kepada soalan lazim (FAQ) yang disediakan.
Terdahulu, pada 12 Februari lalu, kerajaan Sarawak telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi memuktamadkan pengambilalihan MASwings Sdn Bhd.






