
KUALA LUMPUR – Isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) antara perkara yang akan disentuh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Ucapan Dasar Presiden pada pembukaan Perhimpunan Agung UMNO Jumaat ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, butiran lanjut mengenainya akan dijelaskan Timbalan Perdana Menteri semasa menyampaikan ucapan dasar itu.
“Saya hanya memberi sedikit gambaran awal. Tunggu sehingga Presiden menyampaikan ucapan dasar beliau, di mana beliau akan menghuraikannya dengan lebih lanjut,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Taklimat Bersama Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini menarik perhatian ramai apabila mencadangkan supaya Perikatan Nasional dibubarkan manakala MN diwujudkan semula berikutan kemelut politik di Perlis.
Cadangan itu kemudiannya disambut positif pimpinan Pas termasuk Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari.
Namun, tindakan Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu bagaimanapun tidak dipersetujui segelintir ahli dan pemimpin partinya sendiri.







