
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan rasa amat kecewa terhadap kewujudan kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melibatkan pegawai pada peringkat tertinggi, sekali gus mencemarkan imej serta integriti pasukan keselamatan negara.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas di Parlimen, hari ini.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sampai peringkat tertinggi.
“Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik Sarjan saja jadi PAT. Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau tip of the iceberg,” titahnya.
Titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas di Parlimen, hari ini.
Dalam pada itu, baginda menegaskan bahawa amalan rasuah perlu diperangi secara menyeluruh dan berterusan tanpa sebarang kompromi.
“Saya pernah sebut dahulu yang saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu rasuah dan nampaknya saya telah berjaya.
“Saya yakin ada ramai lagi di luar sana, sama ada di Jabatan Kastam, imigresen, polis dan sebagainya. Serta termasuk juga yang berada di dalam Dewan akan terus diburu sampai jumpa,” titahnya.





