
WAKIL rakyat pembangkang, Mohd Yusni Mat Piah akhirnya mengaku terkhilaf kerana mempercayai sumber tidak sahih ‘Money Love’ yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ranking 17 pemimpin terkaya di dunia.
Mohd Yusni (PN-Penaga) membuat permohonan maaf itu selepas Lee Boon Heng (PH-Kebun Bunga) membangkitkan Peraturan Mesyuarat di DUN Pulau Pinang supaya wakil rakyat Pas itu menarik balik dan memohon maaf atas kenyataan ketika perbahasan, semalam.
Boon Heng berkata, Mohd Yusni telah menggunakan sumber meragui bagi kedudukan kekayaan yang dimiliki oleh Perdana Menteri.
Mohd Yusni mengakui ranking yang menjadi asas dakwaannya mungkin tidak boleh dipercayai, dan memohon maaf selepas ditegur oleh Speaker DUN, Datuk Seri Law Choo Kiang.
“Saya menarik balik ucapan saya berhubung Anwar, mengenai kedudukan pemimpin dunia dan memohon maaf kepada semua ahli.
“Bagaimanapun bahagian tentang pengisytiharan harta dan aset yang dimiliki adalah benar,” katanya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini.
Terdahulu, Boon Heng berkata, tindakan Perdana Menteri untuk isytihar harta adalah tindakan yang terpuji dan bukan dijadikan bahan polemik politik di Dewan yang mulia.
Beliau mendakwa, cara penyampaian ADUN Penaga yang membawa perkara yang sumbernya meragukan juga telah mengelirukan Dewan.





