
LAMAG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob (Miha) meninjau sendiri beberapa kawasan yang terjejas akibat banjir berpunca daripada air bertakung, selain meneliti hantaran dan komen di Facebook berkaitan isu itu.
Menurut Miha, keadaan tersebut jelas menunjukkan sistem perparitan sedia ada perlu diperbaiki dan diperbesarkan bagi menampung aliran air dengan lebih baik.
“Usaha ini dijangka memerlukan sedikit masa kerana melibatkan jarak kawasan yang luas serta kerja naik taraf infrastruktur secara menyeluruh.
“Perkara ini bukan sahaja soal kemudahan, malah menyentuh keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat yang saban kali berdepan risiko banjir.
“Saya memahami kegusaran dan kesulitan yang dihadapi oleh para penduduk,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.
Miha turut memohon agar semua penduduk terus bersabar sementara proses tindakan dan perancangan dilaksanakan.
Tambahnya, setiap aduan dan pandangan akan dibawa ke perhatian pihak berkaitan bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat direalisasikan.
Dalam pada itu, Miha turut menzahirkan penghargaan kepada wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinabatangan yang meluangkan masa bersama dalam sesi pemantauan culvert di beberapa kawasan.
“Komitmen dan kerjasama yang diberikan amat dihargai demi memastikan setiap permasalahan infrastruktur dapat diteliti dan ditangani sebaiknya.
“Semoga usaha bersama ini menjadi langkah berterusan ke arah kesejahteraan dan keselamatan rakyat,” ujarnya.






