
KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi bayangan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bebas dipercayai memberi sokongan dalam membentuk kerajaan Sabah.
Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya bersyukur kerajaan Sabah terbentuk.
Menurutnya, kerajaan Sabah terbentuk dengan majoriti mudah dan mendapat sokongan ADUN termasuk semua ADUN bebas yang sebelum ini berada bersama kerajaan GRS.
“Syukur Alhamdulillah Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri dengan dihadiri ADUN yang memberikan sokongan untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
“Insya-Allah, GRS dan rakan-rakan parti dan semua ADUN bebas, yang sebelum ini berada dalam GRS sama ada sebagai ADUN atau pimpinan parti sebelum pembubaran, akan bergerak segera menunaikan mandat dan amanah rakyat Sabah,” katanya menerusi kenyataan, pada Ahad.
Terdahulu, Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah pada pukul 3.10 pagi Ahad.
Keputusan penuh sengit Pilihan Raya Negeri (PRN) lewat malam menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti mudah membentuk kerajaan gagal mendapat sekurang-kurangnya 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
GRS memenangi 29 kerusi, manakala Parti Warisan (Warisan) meraih 25 kerusi, Barisan Nasional (BN) pula enam, bebas (lima), UPKO (tiga), Star (dua), Pakatan Harapan (satu), Perikatan Nasional (satu) dan KDM (satu).





