PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan elemen meragukan berhubung isu pencerobohan tanah yang dijadikan kebun durian di Raub, Pahang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan keterangan saksi.
“Saya boleh katakan memang kita jumpa perkara yang meragukan dalam siasatan, tetapi yang penting kita dapatkan keterangan saksi.
“Perkara sukar adalah mendapatkan saksi-saksi terdahulu kerana sebelum ini kita sudah jalankan siasatan pada tahun 2021.
“Saksi terkini memang mudah kita panggil dan mereka ini semua akan dipanggil lagi untuk menjawab soalan pegawai penyiasat berhubung penerokaan tanah ini,” katanya di sini, hari ini.
![]()
Azam berkata, seramai 38 saksi sudah dipanggil – terdiri daripada peneroka haram, peguam, pegawai Pejabat Hutan Daerah, pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan – dan syarikat pengurus tanah diceroboh.
“Saya juga ingin memberitahu bahawa kita sudah mempertimbangkan untuk menjalankan siasatan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan,” katanya lagi seperti dilapor Bernama.
Pada 10 Mei lalu, SPRM sudah mengenal pasti peneroka bagi tujuan siasatan pencerobohan tanah dijadikan kebun durian di Raub.






