
JASIN – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh hari ini merasmikan Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri Melaka 2024 seterusnya melancarkan Jasin Development Initiative (JDI) yang berlangsung di Dewan Alamanda, Majlis Perbandaran Jasin.
Beliau menyampaikan lapan perkara dalam amanat penting kepada semua penjawat awam khususnya ketua-ketua jabatan supaya mengambil perhatian serius bagi memastikan segala perancangan kerajaan negeri selari dengan landasan dan garis masa yang ditetapkan.
“Ini termasuklah memposisikan Melaka di peta pelancongan dunia, meneroka pengkisahan Laksamana Tuah melaui Pameran Hang Tuah dan memperkasa kedudukan Melaka melalui anugerah pengiktirafan.
“Memperhebat pertumbuhan hasil ekonomi negeri, memberi perhatian terhadap projek yang masih dalam peringkat pra-pelaksanaan, mempercepat proses kelulusan, projek melalui Jasin Development Initiative dan mempertingkat sistem penyampaian aduan awam.
JDI yang dilancarkan merupakan inisiatif bagi mempercepatkan proses mendapatkan lesen perniagaan oleh pelabur-pelabur dan Kebenaran Merancang (KM) kepada pemaju seiiring dengan Melaka sebagai negeri mesra pelabur.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan, Datuk Wira Ibrahim Durum, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Dato’ Azhar Hj. Arshad serta barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Dalam pada itu, selaku pentadbir negeri, beliau menegaskan akan terus berkarya bagi ‘mewajah’ Melaka ke pelbagai bidang seperti pelancongan, pelaburan, perindustrian dan pendidikan.
Simbolik penyerahan bendera Negeri Melaka kepada kontinjen yang akan menyertai temasya sukan Sukma ke-21 Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos ini turut di kibarkan.