
SIBU – Kebakaran semak dan rumput kering di Jalan Utama Kemuyang di sini petang Khamis berjaya dikawal sepenuhnya hasil tindakan pantas pasukan penyelamat.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sibu dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada orang awam sebelum menjalankan tinjauan ke lokasi.
Menurut kenyataan itu, kebakaran yang dilaporkan berlaku kira-kira 5.30 petang melibatkan kawasan semak dan rumput kering.
“Pasukan bomba dengan kekuatan 16 anggota bersama tiga anggota APM telah bertindak segera mengawal kebakaran daripada terus merebak,” menurut kenyataan berkenaan.
Operasi pemadaman turut melibatkan penggunaan sebuah kenderaan Light Rescue Vehicle (LRV) milik APM, dua jentera Scania P310 serta sebuah unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) milik bomba.
Menurut APM, hasil operasi mendapati api berjaya dikawal sepenuhnya dan keadaan di lokasi kini adalah selamat serta terkawal.
Sehubungan itu, orang awam diseru agar sentiasa peka dan segera melaporkan sebarang kejadian kecemasan bagi membolehkan tindakan pantas diambil oleh pihak berkuasa.





