SUNGAI BULOH – Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan meyangkal dakwaan beliau sebagai Mr R yang didakwa menerima RM9.5 juta, seperti yang dikaitkan oleh ahli perniagaan Victor Chin.
Beliau mempersoalkan logik tuduhan tersebut susulan ia tidak masuk akal kerana Ahli Parlimen Sungai Buloh tersebut langsung tidak mengenali individu terbabit.
“Macam mana saya boleh ambil RM9.5 juta daripada seorang yang saya tak pernah jumpa dalam hidup saya atau tak kenal?
“Individu korporat ini (Victor), dia berjaya menipu dan memanipulasi,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ramanan menegaskan, pelbagai kesalahan serius boleh dikaitkan dengan individu terbabit termasuk urus niaga palsu, manipulasi pasaran saham, kenyataan palsu dan mengelirukan serta penipuan yang mendorong orang berurusan dalam sekuriti.
Sehubungan itu, Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia tampil mengadakan sidang media bagi memperjelaskan keadaan susulan implikasi terhadap parti.
“Dia boleh melepasi semua seksyen ini, kemudian tanpa asas mendakwa dia sudah beri saya 9.5 juta atau mana-mana Ahli Parlimen PKR 9.5 juta.
“Bila parti diserang macam ini dan tuduhan seperti ini dibuat, saya ada tanggungjawab sebagai Naib Presiden parti untuk pastikan perkara ini jelas.
“Kalau tidak, kita duduk diam-diam macam ini, semua orang akan mula anggap ia benar,” katanya.
Beliau berkata, seseorang perlu tampil menjelaskan isu berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.
“Jadi seseorang perlu bersuara mengenai perkara ini dan bangkitkan isu yang perlu dibangkitkan. Kita tidak boleh biarkan terlalu banyak keraguan dan kekaburan,” katanya.
Mengulas dakwaan mengenai individu dikenali sebagai ‘Mr R’, Ramanan berkata, hanya Victor boleh menjelaskan identiti sebenar individu itu.
“Hanya Victor Chin yang boleh jawab soalan itu, siapa ‘Mr R’. Tetapi saya sedar, sebab saya boleh nampak ada beberapa personaliti yang tidak bertanggungjawab di luar sana cuba mengaitkan saya dengan perkara ini.
“Dia kononnya cakap ‘Mr R’ itu saya. Berpuluh, beratus juta saham, ratusan ribu jika bukan jutaan saham didakwa dipindahkan kepada saya. Buktikan… saya tidak memegang sebarang saham awam,” katanya.
Ramanan turut mempersoalkan dakwaan wujud transaksi saham berskala besar yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen seperti didakwa.
“Saya harap itu menjawab soalan. Saya tidak fikir mana-mana Ahli Parlimen yang waras akan berurusan membabitkan ratusan juta dolar saham.
“Kita ada Suruhanjaya Sekuriti, kita ada Bank Negara. Adakah anda mahu katakan transaksi seperti itu boleh berlaku begitu sahaja, mengaitkan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen dalam urus niaga seperti itu tanpa sebarang amaran?
“Itu sesuatu yang saya anggap tidak masuk akal,” katanya.
Pada Selasa, media melaporkan Victor mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal mafia korporat, namun baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah itu tidak diselesaikan.
Terdahulu, bekas Menteri Ekonomi yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, tampil membuat penafian itu susulan pendedahan dan ancaman oleh Victor untuk mendedahkan identiti individu berkenaan melainkan wang berkenaan dikembalikan kepadanya.







