
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus menyokong keperluan anggota polis yang merupakan rakan strategik utama keselamatan dan pembangunan negeri.
“Keselamatan negeri adalah asas kepada kestabilan pembangunan, kesejahteraan rakyat dan keyakinan pelabur,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Galeri Polis Negeri Sabah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Rabu.
“Dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), keselamatan adalah pemudah cara utama kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta teras kepada usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat negeri ini.
“Malah, tanpa kestabilan sudah tentu ia turut memberi kesan kepada pelaksanaan pembangunan SMJ 2.0,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut memuji inisiatif menjadikan sebuah bangunan lama di kawasan IPK Sabah Ibu sebagai Galeri Polis Negeri Sabah.
“Ia bukan sekadar tempat untuk pameran semata-mata, tetapi ia adalah arkib hidup yang mengabadikan sejarah, jerih perih, dan komitmen PDRM di Sabah.
“Galeri ini juga adalah saksi perjuangan, pengorbanan, dan dedikasi warga polis dalam mengekalkan keamanan negara.
“Ia merupakan sebuah wadah bagi menzahirkan penghargaan atas pengorbanan, jasa dan bakti yang tidak terbalas daripada seluruh warga PDRM, baik yang masih berkhidmat mahu pun sudah bersara,” katanya.
Antaranya pameran utama di galeri tersebut adalah insiden Tanduo, Lahad Datu pada tahun 2013 yang terus menjadi ingatan dan lipatan sejarah kepada rakyat di negeri ini.
Justeru, Hajiji menyifatkan kewujudan galeri tersebut amat signifikan dan bertepatan pada masanya sebagai wadah untuk memastikan pengorbanan wira negara terus terpahat dalam ingatan, memandangkan jasa mereka merupakan benteng utama kedaulatan negara.
“Galeri ini juga akan menjadi pusat pendidikan iaitu sebagai medium rujukan sejarah untuk generasi muda agar mereka menghargai nilai keamanan yang dinikmati hari ini.
“Ia mendidik generasi muda dan mengingatkan kita semua akan erti keselamatan, keamanan serta disiplin tinggi yang dipegang teguh oleh pasukan polis,” katanya.
Sementara itu, Hajiji turut menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati berikutan keadaan cuaca panas dan kemarau yang sedang melanda ketika ini, khususnya melibatkan aktiviti di kawasan ladang.
“Sekarang ini kita menghadapi keadaan cuaca yang agak panas, kemarau. Jadi nasihat saya kepada rakyat supaya berhati-hati terutama apabila mereka mengerjakan ladang.
“Ini musim agak panas, kebakaran mudah berlaku, jadi kita kena hati-hati,” katanya dalam sidang media.
Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam keadaan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan pemantauan berterusan dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.





