PUTRAJAYA – Umat Islam digesa mematuhi arahan pihak berkuasa dalam urusan menunaikan umrah terutama dalam situasi yang tidak digalakkan atau tidak dibenarkan demi faktor keselamatan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, ibadah umrah mempunyai kelonggaran dari segi waktu pelaksanaan dan boleh ditangguhkan ke masa yang lebih selamat.
Menurut beliau, langkah itu selari dengan prinsip syariah dalam menjaga nyawa (hifz al-nafs) apabila keselamatan dianggap tidak terjamin.
“Sekiranya tidak dibenarkan atau tidak digalakkan, kita patuhi arahan tersebut kerana keselamatan jemaah lebih utama. Umrah boleh dilakukan pada waktu yang lebih aman.
“Mudah mudahan pihak (agensi) travel boleh berunding dengan pihak bakal umrah di dalam isu ini kerana di dalam keadaan sebegini penjagaan nyawa lebih (penting) daripada perlaksanaan ibadat,” katanya menerusi kenyataan, pada Sabtu.
Ahmad Fauwaz turut menekankan bahawa setiap keputusan pihak berkuasa mesti berpaksikan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat.

Beliau menyeru umat Islam di negara ini supaya sentiasa merujuk maklumat rasmi daripada Kementerian Luar dan pihak berautoriti sebelum membuat sebarang keputusan perjalanan.
Beliau menambah, penilaian semula syarat istita’ah (kemampuan menunaikan ibadah) kini menjadi keperluan mendesak susulan ketegangan konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.
“Sekiranya keadaan perjalanan tidak lagi selamat atau terdapat ancaman yang boleh memudaratkan nyawa, syarat kemampuan dianggap tidak sempurna.
“Justeru, orang ramai diseru sentiasa peka dan merujuk maklumat rasmi pihak berautoriti, khususnya Kementerian Luar, yang bertanggungjawab memantau perkembangan keselamatan antarabangsa serta mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat Malaysia,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Luar menasihati rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara Asia Barat termasuk bagi tujuan mengerjakan umrah atau ziarah.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, nasihat tersebut dikeluarkan susulan peningkatan ketegangan konflik antara Amerika Syarikat (AS), Iran dan Israel yang semakin memuncak di rantau berkenaan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini turut memaklumkan kerajaan juga telah memulakan proses evakuasi rakyat Malaysia dari beberapa negara berikutan peperangan yang berterusan di rantau itu.




