
KOTA KINABALU – Program Jualan Rahmah wajar diperluaskan ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Parlimen Sepanggar bagi membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih mampu milik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, cadangan itu dibuat selepas melihat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap program berkenaan.
“Hari ini kita berada di Pekan Inanam mengadakan Jualan Rahmah sempena bulan Ramadan dan untuk kita menghadapi Hari Raya Aidilfitri.
“Untuk hari ini sahaja kita ada dua lokasi, yang pertama di Taman Bukit Setia, Sepanggar dan yang kedua di Pekan Inanam,” kongsinya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan jualan rahmah di Tugu Peringatan Inanam, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Mustapha berharap pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dapat mempertimbangkan penganjuran Jualan Rahmah di semua kawasan PPR sekitar Sepanggar bagi memberi peluang kepada golongan B40 mendapatkan barangan keperluan pada harga Rahmah.
“Saya harap KPDN dapat mengambil kira perkara ini.
”Kita pergi ke perumahan PPR yang ada di sekitar Sepanggar supaya memberi ruang kepada golongan B40 untuk membeli barangan pada harga Rahmah,” ujarnya.
Mustapha turut merakamkan penghargaan kepada KPDN serta Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali kerana memberi ruang kepada Parlimen Sepanggar menganjurkan program tersebut.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada KPDN dan Datuk Armizan kerana telah memberi ruang kepada Parlimen Sepanggar untuk mengadakan program Jualan Rahmah,
“Daripada pengamatan saya, ramai pengunjung yang datang merasa amat gembira dan mereka mahu supaya Jualan Rahmah ini diadakan lebih kerap,” jelasnya.






