Keterangan individu dikaitkan konspirasi jatuhkan kerajaan sudah dirakam

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakamkan kenyataan daripada seorang individu yang dikatakan terbabit dengan komplot untuk menjatuhkan kerajaan membabitkan kumpulan Zionis terkemuka yang melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata individu rakyat tempatan itu memberikan keterangan secara sukarela kepada pihaknya pada 26 Februari lalu, iaitu pada hari laporan polis mengenainya dibuat.

Beliau berkata, PDRM sudah mendapat beberapa nama yang dipanggil untuk memberi kenyataan membabitkan dakwaan seorang isteri bekas menteri bersekongkol dengan beberapa pihak lain dari luar negara termasuk kelompok Zionis terkemuka untuk menjatuhkan kerajaan.

“Kita dah dapat beberapa nama-nama, saya sedang berusaha untuk dapatkan kenyataan-kenyataan daripada mereka yang berkaitan lah.

“Setakat ini kita baru ambil (keterangan daripada) seorang tapi kita ada lagi dalam tiga empat orang lagi yang perlu kita panggil untuk beri kenyataan,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di sini, hari ini.

Bagaimanapun,  Mohd Khalid tidak menamakan individu yang telah dirakamkan keterangan beliau.

Beliau memaklumkan, individu pertama yang dirakam keterangan hadir secara sukarela tidak lama selepas laporan dibuat.

“Individu itu datang secara sukarela lebih kurang selepas laporan dibuat pada hari itu. Kita berjaya mengadakan pertemuan dan kita telah ambil kenyataan,” katanya.

Ditanya sama ada individu yang akan dipanggil termasuk isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, yang didakwa sebagai dalang kepada usaha menjatuhkan kerajaan, Mohd Khalid berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

“Kita belum pastikan lagi mengenai itu. Ia akan dibuat secara berperingkat-peringkat. Nanti saya akan umumkan,” katanya.

Sebelum ini, Na’imah dilaporkan menolak dakwaan bahawa beliau adalah dalang di sebalik laporan penyiasatan Bloomberg berhubung pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Media sebelum ini turut melaporkan bahawa lima individu termasuk empat anak Allahyarham Daim serta seorang tokoh yang digelar “individu berpengaruh” didakwa terlibat dalam satu plot untuk menjatuhkan kerajaan.

Dalam pada itu, Mohd Khalid menegaskan siasatan yang dijalankan melibatkan skop yang lebih luas dan tidak terhad kepada dalam negara sahaja.

“Kita perlu kenal pasti isu-isu yang berkaitan dan ia bukan sahaja terlibat dalam negara tetapi juga di luar negara. Jadi, ini memerlukan penelitian yang menyeluruh dan berhati-hati.

“Kenyataan yang dirakam daripada individu berkenaan juga agak panjang dan memerlukan penelitian terperinci sebelum sebarang tindakan lanjut dapat diputuskan,” katanya.

Sebelum ini, Bukit Aman memaklumkan pihaknya sedang menyiasat dakwaan cubaan oleh individu tidak dinamakan untuk menggulingkan kerajaan dan mengancam kestabilan negara berdasarkan satu laporan polis yang diterima.

Laporan tersebut mendakwa ahli sebuah keluarga berpengaruh telah melantik sebuah firma dari United Kingdom (UK) bagi memberi tekanan kepada SPRM dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan bantuan media antarabangsa.

Dakwaan itu timbul susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Azam memegang 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dan tidak mengisytiharkan aset berkenaan secara terbuka.

Related Posts

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pagi ini. Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri turut santap bersarapan bersama sempena cuti…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Hayati nilai luhur, kasih sayang dalam hidup bermasyarakat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat agar terus menyemarakkan nilai cinta, ihsan dan kasih sayang serta menolak sebarang hasutan kebencian yang cuba mencetuskan permusuhan antara kaum…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina dalam DAP Johor

Nie Ching luah rasa berat hati, hargai jasa Marina dalam DAP Johor

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

Trump dakwa lulus cemerlang ujian kognitif

Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

Gawai Dayak platform perkukuh perpaduan, warisan budaya dan daya saing rakyat Sarawak

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Dua maut dalam kemalangan berasingan di Batu Pahat

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Sistem pendigitalan jadikan Baucar Buku MADANI rekod pencapaian luar biasa

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri

Agong terima menghadap, santap sarapan bersama Perdana Menteri