
Oleh: Nana Mohamad & Eveline B
SIBU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu merampas 1,560,000 batang rokok dan 1,591.92 liter minuman keras yang disyaki tidak berkastam dalam serbuan di sebuah rumah kosong di Jalan Teku Lama, di sini, pada 10 Februari lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan kerana ia menyebabkan ketirisan hasil negara serta mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“JKDM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan ini,” katanya dalam satu sidang media di Pejabat Kastam Diraja Malaysia Sibu pada Rabu.
Menurutnya, serbuan kira-kira jam 9.20 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dari Unit Operasi Darat, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sibu hasil maklumat Zon Risiko Sarawak.
Beliau berkata pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sejumlah besar rokok dan minuman keras dipercayai disimpan di rumah kosong berkenaan bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
Nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM234,000 dengan jumlah duti dan cukai sebanyak RM1,087,320, menjadikan keseluruhan nilai termasuk duti RM1,321,320.
Minuman keras yang disita pula dianggarkan bernilai RM9,551.52 dengan duti dan cukai sebanyak RM25,453.27, menjadikan jumlah keseluruhan RM35,004.79.
Secara keseluruhan, nilai barangan rampasan dianggarkan RM243,551.52 manakala jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM1,112,773.27, dengan nilai keseluruhan termasuk duti mencecah RM1,356,324.79. Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan orang ramai digesa menyalurkan maklumat melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 dengan jaminan identiti dirahsiakan.



